TINGGAL RANGKA: Sebahagian daripada dua blok rumah kedai dua tingkat yang musnah dijilat api dalam kebakaran yang berlaku sekitar jam 2.30 pagi semalam |
by Utusan Borneo, Michael Ubam. Posted on August 12, 2011, Friday
KANOWIT: Sepuluh rumah kedai dua tingkat lama di Pekan Machan dekat sini, ranap dijilat api dalam kebakaran yang berlaku awal pagi semalam.
Kebakaran yang dipercayai berlaku antara jam 2.30 hingga 3 pagi itu telah menyebabkan sepuluh rumah kedai musnah termasuk enam yang diperbuat daripada kayu yang telah dibina sejak 60 tahun yang lalu dan satu lagi blok menempatkan empat rumah kedai separa kayu dan konkrit yang dibina lima tahun selepas blok pertama tersebut.
Kaunselor yang juga Kapitan Liong Khing Hee ketika ditemui Utusan Borneo memberitahu bahawa bapa saudaranya berusia dalam lingkungan umur 60-an meng-alami kelecuran 25 peratus di bahagian badannya kerana cuba memadamkan api yang sedang marak ketika itu.
“Saya terpaksa bergegas menghantar pakcik saya ke rumah anak saudara saya agar dihantar segera ke Hospital Daerah Kanowit pagi tadi (semalam),” katanya.
Seorang pemilik rumah kedai yang turut terjejas, Ling Kiong Khing, 77, bagaikan tidak percaya melihat rumah kedainya terbakar semasa dia tersedar pada jam 3.00 pagi itu.
“Saya terbangun dari tidur dan menjenguk keluar, api telah pun berada di bumbung dua buah rumah kedai dan setengah jam kemudian ia sudah merebak ke semua blok pertama dan dalam beberapa minit kemudian baranya sudah menyambar ke blok kedua yang terletak bersebelahan dengan Pasar Tamu Pakan,” katanya.
Ling turut mengimbas kembali ketika umurnya baru mencecah 25 tahun semasa dia mengikut ayahnya berhijrah ke pekan ini dari Pulau Keladi, Sibu untuk menjalankan perniagaan runcit di sini.
“Kami (pemilik kedai) bukan saja menanggung kerugian wang ringgit tetapi kenangan silam yang tidak ternilai kerana ia sebahagian daripada sejarah hidup kami ketika membesarkan anak-anak kami di sini,” katanya.
Seorang lagi saksi yang juga salah seorang pemilik rumah kedai di situ, Peter Sumbang, 27, berkata dia dikejutkan oleh abangnya yang ketika itu pergi ke tandas semasa melihat kepulan api yang boleh dilihat dari rumahnya yang terletak di Nanga Machan.
“Kami tidak dapat berbuat apa-apa lagi kerana bahang api terlalu panas dan ia menghalang kami untuk menghulurkan bantuan bagi mem-bantu penyewa rumah kedai kami untuk menyelamatkan barang-barang mereka,” katanya dan menambah salah sebuah rumah kedai di situ telah diwariskan kepada ibunya Charang Tadong selepas ayahnya meninggal dunia enam tahun lalu.
Brain Sei, 61, turut kecewa kerana kebakaran tersebut telah mengakibatkan sebuah enjin sangkut Yamaha 6 kuasa kuda milik anak saudaranya yang disimpanya di salah sebuah rumah kedai di situ turut musnah.
“Saya tidak tahu bagaimana saya mahu memberitahu anak saudara saya bahawa enjin sangkutnya kini sudah rentung,” katanya bimbang.
Chandi Bayan, 46, yang juga merupakan pewaris kepada salah sebuah rumah kedai yang turut terjejas hanya mampu berserah kepada apa yang telah terjadi.
“Saya tidak tahu apa yang harus dilakukan sekarang ke-rana rumah kedai yang di-sewakan kepada seorang ahli perniagaan untuk menjalan-kan perniagaan kedai kopi kini sudah menjadi abu. Ia disewa dengan kadar RM500 sebulan tetapi pendapatan tambahan ini tidak akan wujud lagi,” kata Chandi yang tinggal ti-dak jauh dari lokasi kebakaran itu.
Beliau berharap pihak kerajaan ataupun pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat membantu mereka untuk menangani masalah selepas ditimpa kebakaran tersebut terutama dalam mengembalikan hartanah mereka yang terjejas disebabkan kebakaran itu.
Sementara itu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Kanowit mengesahkan menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 3.15 pagi.
Ketua Balai Bomba Kanowit, Mutton Glanggang memberitahu bahawa seramai 14 orang anggota telah dikerahkan ke lokasi kebakaran dan tiba di pekan ini setengah jam kemudian.
“Ketika kami sampai di sini (pekan Machan) api sudahpun menyelubungi blok kedua, memaksa kami bekerja keras sehingga terpaksa menggunakan sumber air sungai selepas dua pili air bomba tidak mencukupi,” jelasnya.
Katanya, pihaknya turut dibantu oleh 10 anggota bomba dari Sibu yang menaiki sebuah kenderaan bomba bekerja keras dan berjaya mengawal api dalam masa setengah jam.
“Kami berjaya memadamkan api sepenuhnya selama satu setengah jam,” kata Mutton yang masih berada di lokasi kebakaran sehingga jam 10.30 pagi semalam.
Beliau bagaimanapun belum dapat mengenal pasti punca sebenar kebakaran tersebut dan memberitahu bahawa satu pasukan khas akan dilantik untuk mengenal pasti punca dan jumlah kerugian yang ditanggung.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Ismail Mahmood meminta pemilik-pemilik rumah kedai yang sudah usang terutama rumah kedai yang berasaskan kayu agar lebih prihatin untuk memeriksa pendawaian di premis mereka dari semasa ke semasa.
“Kebakaran mudah tercetus disebabkan litar pintas yang berpunca daripada pendawaian premis yang sudah lama dan tidak elok lagi.
“Memandangkan ketika ini musim kemarau, api mudah merebak jika berlaku kebakaran kerana cuaca kering dan angin yang kuat memudahkan kebakaran berlaku pada bila-bila masa,” jelasnya ketika ditemui pagi semalam.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!