Vaksinasi Bayi Anda Daripada Penyakit Pneumokokal MeningitisBERNAMA 02 Disember, 2011 14:52 PMOleh Wan Shahara Ahmad Ghazali
KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Pembunuh senyap kanak-kanak, Pneumokokal, telah meragut sekitar 1.6 juta nyawa kanak-kanak setiap tahun di seluruh dunia.
Malah Pertubuhan Kesihatan Malaysia (WHO) sendiri menyatakan bahawa pneumokokal, sejenis penyakit boleh dicegah dengan vaksin, adalah punca nombor satu kematian kanak-kanak bawah umur lima tahun di seluruh dunia.
Sedangkan, kenyataannya, pembunuh ini boleh dicegah dengan mudah melalui beberapa dos suntikan vaksin.
Persoalan kini, adilkah kita sebagai orang dewasa, mendedahkan kanak-kanak ini untuk menderita dalam kesakitan yang amat teruk hingga hilang nyawa di tangan pembunuh ini ekoran kejahilan kita sendiri?
Penyakit rumit ini menyebabkan jangkitan kepada sekurang-kurangnya satu daripada kumpulan penyakit meningitis atau selaput otak dan saraf tunjang, otitis media atau bahagian dalam telinga dan bakterimia atau kuman dalam darah.
Jangkitan dari mana-mana satu daripada 13 strain bakteria Streptokokus pneumoniae ini amat serius boleh membunuh atau sekurang-kurangnya menyebabkan kerosakan otak, menjadi buta atau pekak sepanjang hayat mereka.
Setakat ini, dunia perubatan telah mengenalpasti 90 sub-jenis bakteria pneumokokal.
KENAPA VAKSIN
Jadi, jika seseorang individu telah dijangkiti dengan salah satu jenis, dia masih tidak lali dengan jenis yang lain, oleh itu pesakit masih perlu divaksinkan meskipun telah diserang penyakit ini beberapa kali.
Seperti banyak penyakit berpunca bakteria, pneumokokal biasanya boleh dirawat melalui penggunaan antibiotik.
Bagaimanapun, kajian beberapa tahun kebelakangan ini mendapati bakteria itu bersifat kebal terhadap antibiotik yang biasa digunakan.
Kekebalan terhadap antibiotik menyukarkan rawatan malah menjadikan pesakit perlu ditahan lebih lama di hospital lantas kos perubatan akan melonjak tinggi.
Justeru cara perlindungan terbaik dari penyakit ini ialah vaksinasi atau pelalian kanak-kanak iaitu vaksin konjugat yang terdapat dalam 10 valen (PCV10) atau 13 valen (PCV13). Vaksin pneumonia polisakarida pula sesuai untuk orang dewasa.
Sayangnya, vaksinasi pneumokokal tidak begitu popular lantas, kanak-kanak Malaysia terus diancam dengan risiko penderitaan dan kematian akibat pneumokokal ekoran kurangnya pengetahuan ibu bapa atau kesedaran awam terhadap penyakit ini.
Baru-baru ini, syarikat farmaseutikal Pfizer (Malaysia) telah mengadakan perkongsian pengalaman di antara ibu bapa kepada kanak-kanak yang bernasib baik terselamat daripada ajal ekoran penyakit ini, dengan beberapa pakar perubatan dan wakil media.
MENINGITIS PALING SERIUS
Antara yang hadir ialah Presiden Confederation of Meningitis Organisations (CoMo), Bruce Langoulant dari Perth Australia.
CoMo ialah badan sukarela yang ditubuhkan pada 2004 oleh 33 persatuan berkaitan dari 22 negara berbeza yang bertekad mahu meningkatkan kesedaran awam mengenai meningitis.
Ia mempunyai reputasi cemerlang dalam menyampaikan kepentingan pevaksinan, malah berjaya melobi kerajaan Australia untuk membiayai program pevaksinan negara itu melalui Program Pevaksinan Kebangsaan (NIP), selain menyediakan perkhidmatan kumpulan sokongan kepada keluarga terlibat dan membantu penyelidikan meningitis.
Menurut Langoulant, kebanyakan ahli CoMo adalah ibu bapa yang mempunyai pengalaman menghadapi meningitis, khususnya anak-anak yang menjadi kurang upaya akibat meningitis.
"Meningitis dari bakteria adalah jenis meningitis paling serius dan berkait rapat dengan jangkitan dalam darah (septisemia) yang membawa maut," katanya menjelaskan bakteria pneomokokal iaitu Streptococcus pneumonia adalah punca utama meningitis dan septisemia selain Hemophilus influenza type B dan Neisseria meningitides.
KOMPLIKASI RUMIT
Meningitis, boleh berlaku secara tiba-tiba tetapi simptomnya amat menyerupai selesema biasa iaitu demam, keletihan dan sakit kepala, hingga menyukarkan doktor mengesan awal jangkitan bakteria merbahaya itu.
Meskipun dapat dikesan segera dan menerima rawatan sewajarnya, kadar kematian masih tinggi dan kesan jangka masa panjang penyakit masih serius termasuk kecacatan mental dan fizikal seperti pekak, epilepsy, kerosakan otak.
"Anak saya, Ashleigh, menghidap pneumokokal meningitis ketika berusia enam bulan, meskipun terselamat dari maut, Ashleigh mengalami komplikasi penyakit yang amat rumit.
"Dia menjadi buta, pekak, mendapat cerebral palsy dan sawan, walaupun kini penglihatannya telah kembali, dia masih terpaksa menderita seumur hidupnya.
"Kanak-kanak sepatutnya mempunyai potensi seluas alam tetapi Ashleigh tidak boleh malah tidak pernah berjalan atau bercakap, menyebabkannya terpaksa bergantung kepada orang lain seumur hidup," jelas Langoulant panjang lebar.
Pelbagai kesan jangka masa panjang yang buruk itu pastinya menelan belanja rawatan dan penjagaan yang sangat tinggi justeru lebih baik ibu bapa membelanjakan sedikit wang memberi suntikan vaksin berbanding terpaksa menanggung kos akibat.
MENCEGAH LEBIH JIMAT
Ini adalah antara faktor, Perunding Pediatrik, Hospital Pakar Damansara (DSH), Datuk Dr Musa Mohd Nordin menegaskan keperluan pevaksinan pneumokokal mesti diwajibkan kepada semua bayi Malaysia.
"Bakteria ini mula kebal dengan rawatan antibiotik, jadi pesakit perlu ditahan lebih lama di hospital, dan memerlukan rawatan antibiotik yang rumit yang sudah tentu lebih mahal berbanding kos suntikan," jelasnya.
Beliau berharap agar harga vaksin dapat menjadi lebih murah bagi membolehkan lebih ramai bayi menerima faedah, tetapi buat masa ini kos satu dos ialah RM200.
Pevaksinan bayi yang dicadangkan ialah tiga dos pada selang masa tertentu menjadikan kos vaksin RM600 untuk seorang bayi, manakala umur yang sesuai ialah antara enam minggu hingga sembilan tahun.
"Bayi anda mungkin mengalami simptom selesema, tetapi sebaik sahaja terdapat tanda-tanda sukar bernafas, anda mesti segera menjangka jangkitan penyakit pneumokokal dan terus ke hospital," kata Dr Musa.
Beliau turut menegaskan peranan penting ibu bapa amat penting bagi menyebarkan pengetahuan dan kesedaran umum kepada masyarakat.
Tiada kanak-kanak yang berhak menderita atau mati ekoran penyakit ini, jadi semua ibu bapa mesti menyiapkan diri dengan maklumat keperluan vaksinasi dan sebarkannya kepada ibu bapa yang lain.
MIMPI NGERI IBU
Yang pasti, kematian bayi adalah mimpi paling ngeri ibu yang telah mengandungkan selama sembilan bulan 10 hari.
Enggan mengambil risiko kehilangan bayi buat kali kedua, personaliti popular Dynaz Mokhtar, bertekad untuk melakukan apa sahaja bagi melindungi kesihatan anak keduanya.
Baginya, kematian anak pertamanya lahir pra-matang benar-benar pengalaman hiba yang membuka mata.
Sebaik sahaja mengandungkan bayi kedua, Dynaz berusaha bersungguh-sungguh belajar dan menambah ilmu pengetahuan dan menjadi lebih peka dengan sebarang isu kesihatan bayi.
"Jadi, saya sentiasa berbincang dengan doktor tentang apa sahaja yang berkaitan dengan bayi saya, dan mengambil semua jenis imunisasi yang dicadangkan doktor termasuk Pneumokokal," katanya.
IBU TERSIKSA
Bagi ibu muda kepada bayi lelaki berusia 11 bulan, Zura pula, melihat si kecil berjuang mati-matian lima bulan lepas, bagi melawan meningitis pneumokokal untuk nyawa adalah satu pengalaman yang terlalu menyiksakan.
"Keadaannya sangat teruk hingga terpaksa dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi neonatal (NICU) selama lima hari, selain 10 hari lagi di wad kanak-kanak DSH.
"Sepanjang 15 hari ditahan, saya sentiasa memerhatikannya, terlalu takut untuk tinggalkan katil hospital walau sesaat kerana bimbang akan kehilangannya," jelas Zura menahan sebak.
Kini pada usia 11 tahun, perkembangan bayinya agak perlahan, ketika rakan seusia telah mula aktif berlari dan fasih menuturkan suku kata, dia masih berusaha belajar berjalan dan menyebut.
Malah Zura yang sebelum ini kurang mengerti tentang penyakit pneumokokal itu, kini aktif menyertai kumpulan sokongan ibu bapa, dan menggalakkan malah memujuk semua rakan-rakannya untuk melindungi bayi mereka dengan vaksin ini.
Maklumat lanjut mengenai penyakit dan vaksin ini boleh didapati dengan melayari laman web www.abc4pneumoccocal.com.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!