Belum ada keperluan LCCT di Sarawak
by Sandy Mark Luna. Posted Utusan Borneo on December 5, 2011, Monday
Negeri ini mungkin akan mempunyai sebuah LCCT tetapi bukan dalam masa terdekat
KUCHING: Sarawak mungkin akan mempunyai sebuah Terminal Pengangkutan Tambang Rendah (LCCT), tetapi bukan dalam masa terdekat.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri, berdasarkan rekod tahun lepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hanya menampung sebanyak 3.6 juta orang pada tahun lepas berbanding kapasiti penuhnya sebanyak 5.3 orang.
“Kita sememangnya akan meneliti perkara tersebut tetapi kita belum melihat keperluan untuk membina LCCT setakat ini,” katanya pada sidang media di VIP Lounge, LTAK, di sini, semalam.
Malaysia setakat ini hanya mempunyai dua LCCT iaitu di Kuala Lumpur dan di Kota Kinabalu.
Selain itu, Rahim turut memberitahu bahawa LTAK merupakan lapangan terbang ketiga terbesar dan antara yang tersibuk di negara ini.
Prestasi pergerakan pesawat di LTAK bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, katanya meningkat sebanyak 19 peratus daripada 31,844 pergerakan pesawat pada tahun lepas kepada 37,984.
Tambahnya, peratusan pergerakan pesawat bagi penerbangan domestik sehingga September lalu meningkat sebanyak 19 peratus manakala penerbangan antarabangsa, 18 peratus.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa MASwing akan memulakan penerbangan di laluan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP EAGA) pada 1 Februari tahun depan.
Antara destinasinya termasuk Kalimantan, Bandar Seri Begawan, Selatan Filipina and Balikpapan.
Beliau turut melahirkan keyakinan terhadap kelestarian penerbangan yang dikendalikan MASWing tersebut.
“Pesawat ATR yang mampu memuatkan 70 penumpang lebih sesuai untuk beroperasi di rantau BIMP EAGA kerana jika pesawat lebih besar digunakan, kita mungkin akan berhadapan dengan masalah dalam jumlah penumpang.
Selain itu, Abdul Rahim memberitahu kerajaan pusat berbelanja RM150 juta setahun untuk memberi subsidi kepada MASWing untuk menjalankan perkhidmatan udara luar bandar di Sabah dan Sarawak.
“Jadi, sekiranya ada pihak mengatakan kita di Malaysia Timur ‘dianak tirikan’, itu tidak benar kerana kita membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk memberi subsidi kepada MASWing dalam usaha memberi akses udara lebih baik, khasnya di luar bandar Sabah dan Sarawak,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!