Pemilihan diharap tidak jejas SUPP
Posted on December 5, 2011, Monday
MIRI: Pemilihan sempena Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada 9 hingga 11 Disember ini diharap tidak menjadi penyebab utama kepada perpecahan parti.
LEE KIM SHIN
Ahli Jawatankuasa Pusat SUPP Datuk Lee Kim Shin berkata sesiapapun individu yang dipilih oleh ahli semasa TDC itu nanti perlu mempunyai kelebihan dan keupayaan untuk mengukuhkan semula parti.
“Sekarang bukan soal siapa menang siapa kalah. Apa yang penting ialah pemimpin yang akan dipilih nanti mampu membawa pembaharuan dan kekuatan dalam parti seterusnya menyatupadukan ahli-ahli dalam parti,” katanya ketika ditemui semalam.
Beliau yang juga Menteri Muda Perhubungan, menjelaskan individu yang dipilih nanti perlu mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani krisis dalaman parti.
“Kami bukan menentang sesiapa dalam TDC sebaliknya kami berasa terpanggil untuk bertanggungjawab mencari cara atau kaedah terbaik untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap parti,” katanya.
Menurutnya, selepas TDC, sesiapa sahaja yang dipilih menjadi presiden dapat menyatukan seluruh akar umbi parti demi memperjuangkan rakyat terutama komuniti Cina di negeri ini.
Mengulas mengenai penyelewengan dalam pemilihan cawangan pula, beliau menjelaskan satu kaedah perlu dikaji supaya masalah tidak puas hati di kalangan ahli tidak berlaku pada pemilihan TDC kelak.
Menurutnya, Pendaftaran Pertubuhan (ROS) Sarawak telah menerima aduan daripada beberapa anggota parti mengenai perkara itu dalam pemilihan peringkat cawangan.
“Bagi memastikan pemilihan parti akan datang dapat dijalankan secara telus dan adil, kami menyarankan supaya ROS Sarawak campur tangan jika berlaku penyelewengan,” katanya.
TDC SUPP akan diadakan dari 9 hingga 11 Disember dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan persidangan itu.
Sementara itu, spekulasi yang mengaitkan ahli-ahli SUPP berpuak-puak dan berpecah-belah sama seperti Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) turut kedengaran menjelang pemilihan TDC, minggu depan.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!