Pemecatan tidak jejas sokongan terhadap SPDP
by Mastura Ismail. Posted Utusan Borneo on December 5, 2011, Monday
Parti semakin kuat berdasarkan sokongan ditunjukkan rakyat selepas keputusan memecat Entri dilakukan
RASMI: Goon Tee (depan kiri), menemani Peter (depan dua kiri) ketika menyempurnakan simbolik perasmian majlis sambil disaksikan yang lain di Limbang malam kelmarin.
LIMBANG: Pemecatan Naib Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Datuk Sylvester Entri tidak menjejaskan sokongan rakyat di peringkat akar umbi terhadap kepimpinan tertinggi parti berkenaan.
Setiausaha Politik Ketua Menteri yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) SPDP Peter Howel berkata parti tersebut semakin kuat berdasarkan sokongan yang ditunjukkan rakyat selepas keputusan memecat Entri dilakukan.
Menurutnya apa yang diumumkan oleh mesyuarat MT parti itu adalah keputusan terbaik untuk mengukuhkan parti dan tidak memberi impak kepada Barisan Nasional (BN).
“Ini adalah keputusan terbaik yang diambil parti dan tidak akan menjejaskan sokongan terhadap BN.
“Malah SPDP di peringkat akar umbi semakin kuat selepas ini dan inilah matlamat sebenar kita untuk berjuang demi parti,” katanya.
Peter berkata demikian ketika mewakili Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom pada Majlis Makan Malam Mesra SPDP di sini malam kelmarin.
Hadir sama ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri Kaunselor Kijan Toynbee, Ahli MT SPDP Paul Toynbee, Pengerusi Pengelola Program Kaunselor Lim Goon Tee dan jemputan lain.
Beliau berkata lagi, keputusan memecat Entri bukan atas desakan peribadi, tetapi selepas mengambil kira perpaduan dalam parti yang turut menyumbang kepada kekukuhan BN.
Malah katanya, Mawan sudah begitu lama bersabar termasuk memberi peluang selama dua tahun kepada SPDP5 untuk menyelesaikan masalah, berbaik dengan kepimpinan parti untuk mengukuhkan lagi SPDP.
Tegasnya walaupun dilanda kemelut, ahli SPDP dan penyokong daripada parti komponen BN sentiasa bersama SPDP untuk menyatakan sokongan mereka.
Pada masa yang sama katanya kerusi bagi konstituensi Batu Danau dan Marudi akan tetap dikekalkan untuk calon SPDP.
“Walaupun calon bagi kerusi Marudi dipecat tetapi kerusi tetap dikekalkan untuk SPDP,” katanya.
Menurutnya mengikut undang-undang BN, mereka yang dipecat daripada parti akan menjadi orang luar dan tidak boleh memasuki mana-mana parti dalam BN.
“Entri adalah salah seorang Menteri Muda dan terpulang kepada Ketua Menteri untuk membuat keputusan selanjutnya,” jelasnya.
Empat pemimpin yang menyokong Entri ialah Naib Presiden Kanan dan ADUN Tasik Biru Datuk Peter Nansian, Naib Presiden dan Ahli Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe, Ketua Penerangan yang juga ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang serta Ahli MT dan ADUN Bekenu Rosey Yunus, dianggap tidak lagi memegang jawatan parti.
Mesyuarat itu juga menetapkan bahawa Dr Tiki tidak akan dicalonkan semula.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Silalah berlaku sopan. Jangan ambil perangai buang batu sembunyi tangan!!!