pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 28 Jun - Suara Rakyat Malaysia (Suaram) didesak mendedahkan sumber kekuatan ekonomi dan penaja pertubuhan itu yang dilihat berterusan memainkan isu rasuah dan penyelewengan dalam pembelian kapal selam Scorpene.
Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim berkata, ia ekoran keraguan terhadap 'kekuatan' pertubuhan berkenaan sehingga mampu melancarkan saman pemula ke atas syarikat pembuat Scorpene dari Perancis iaitu DCNS.
Malah beliau mendakwa, Suaram juga mampu membiayai seorang peguam dari Perancis untuk saman pemula itu.
"Kita mendesak Suaram membuktikan kekuatan ekonomi atau kekuatan pertubuhan itu sendiri. Dedahkan kepada rakyat sumber kewangan mereka.
"Jika tidak mampu membentangkan penyata atau kewangan, kita percaya semua urusan Suaram sehingga membawa perkara ini ke mahkamah di Perancis dibiayai pihak tertentu yang ada motif tersembunyi.
"Jika mereka tiada kekuatan kewangan, kita juga yakin Suaram tidak akan mampu 'mengheret' isu tersebut ke pengetahuan dunia luar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Suaram serta pembangkang yang berterusan memainkan isu pembelian kapal selam Scorpene termasuk mendakwa kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan disapina dan diheret ke mahkamah Perancis selain mengaitkan urus niaga dan rasuah tersebut dengan pembunuhan seorang model Mongolia.
Mengulas lanjut, Zamil mendakwa, individu atau pihak yang menaja Suaram berterusan menghentam kerajaan serta Najib dalam isu Scorpene sudah pasti memiliki keupayaan kewangan yang besar.
"Beritahu rakyat tentang identiti penaja itu dan matlamat politik mereka kerana sanggup reka cipta bukti yang bertujuan mengelirukan rakyat.
"Oleh itu, sebagai rakyat, kita beranggapan adalah tidak wajar Suaram berbuat demikian. Jelas ada orang-orang tertentu di belakang Suaram ini. Jika Suaram kata mereka berdiri atas kaki sendiri, jelaskan sumber kewangan mereka," tegas beliau.
Zamil mendakwa, Suaram seharusnya meminta maaf kepada negara kerana langsung tidak memiliki bukti bagi mengaitkan Najib dengan dakwaan-dakwaan terbabit dan berdasarkan fakta kapal selam itu dibeli pada 2002.
"Berdasarkan fakta juga, penganalisis politik, Abdul Razak Baginda hanya mula mengenali Altantuya pada 2004 iaitu selepas kerajaan menandatangani perjanjian pembelian kapal selam Scorpene pada 2002," katanya.