Amaran hujan lebat di Kuching, Asajaya, Serian, Samarahan
28/12/2011, Rabu
KUCHING: Jabatan Meteorologi semalam mengeluarkan amaran peringkat ‘jingga’ iaitu hujan lebat untuk kawasan Kuching, Asajaya, Serian dan Samarahan sehingga hujung minggu ini.
Jurucakap jabatan itu berkata kejadian hujan lebat itu boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang rendah terutama di Kuching.
“Hujan sekejap-sekejap dijangka turun sederhana lebat pada sebelah lewat petang dan hujan lebat pada sebelah malam terutama di Kuching dan Samarahan,” kata jurucakap itu ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun katanya, di kawasan pedalaman Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Mukah, amaran peringkat ‘kuning’ dikeluarkan sambil menambah ia disebabkan tekanan angin yang rendah bertiup dari wilayah tengah Sarawak.
Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Dayang, berkata amaran peringkat ‘jingga’ tidak hanya menandakan hujan lebat tetapi berlakunya ribut petir dan angin kencang yang bertiup dari Laut China Selatan dan Pantai Timur Sarawak, Labuan serta sebahagian Sabah.“Angin kencang bertiup pada kelajuan 60 hingga 70 kilometer sejam dan boleh menyebabkan gelombang sehingga 5.5 hingga 7.5 meter iaitu gelombang kategori ketiga dan dianggap sangat berbahaya kepada bot-bot kecil, aktiviti penangkapan ikan dan sebarang aktiviti rekreasi laut,” katanya.
- Utusan Borneo